Polis tumpas sindiket air ketum, dadah di JB

PETALING JAYA: Dalam satu operasi bersepadu yang dilakukan pada 5 Februari lalu, Polis Johor Bahru Selatan berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran air ketum dan dadah melalui tiga serbuan yang dilakukan di sekitar Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan.

“Lima lelaki tempatan, berusia antara 30 hingga 40 tahun ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah dan air ketum.

“Hasil ujian saringan awal mendapati tiga suspek positif dadah jenis Nitrazepam, manakala dua lagi suspek bebas dari sebarang jenis dadah.

“Dua suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak Disember 2024 itu menggunakan rumah teres sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan bahan haram sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Katanya lagi, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM38,727 termasuk dadah bernilai RM4,727 dan wang sitaan berjumlah RM225 serta sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Antara rampasan yang dilakukan adalah 102.00 gram serbuk Ecstasy (RM600), 7.57 gram syabu (RM832), 0.18 gram pil yaba (RM15), 0.27 gram erimin (RM20), 591 gram daun ketum (RM20) dan 108 liter air ketum (RM3,240).

“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula 6 Februari hingga 11 Februari bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Seksyen 398, Seksyen 39A(1), Seksyen 15(1)(a)) dan Akta Racun 1952 (Seksyen 30(3)),” tambah Raub.

Anda Mungkin Berminat