Politik Matang Kunci Keharmonian Pemilihan PKR – Amirudin

PETALING JAYA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Pusat kini sedang rancak berlangsung dengan perhatian khusus diberikan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung dakwaan oleh Timbalan Presiden.

Calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru semua pihak yang terlibat agar mengekalkan semangat setiakawan dan berkempen secara bersih tanpa sebarang serangan peribadi atau tuduhan tidak berasas.

Menurutnya, politik berasaskan reformasi harus mencerminkan ketelusan dan etika tinggi.

“Saya menggesa semua sahabat seperjuangan agar tetap istiqamah berkempen dengan semangat setiakawan dan tidak terpalit fasad serta hasad yang mencemarkan imej parti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menekankan kepentingan mematuhi tatacara kempen seperti yang digariskan oleh JPP dengan menyifatkan pemilihan ini sebagai medan terbaik untuk mengetengahkan idea dan gagasan secara matang serta terbuka kepada penilaian anggota parti dan rakyat.

Menurutnya, sebagai parti utama dalam Kerajaan Perpaduan, Amirudin mengingatkan bahawa setiap langkah dan tindakan yang diambil oleh pemimpin serta anggota PKR akan diperhatikan oleh masyarakat.

Oleh itu, beliau mengajak semua pihak untuk bersama-sama mempamerkan politik yang damai dan matang demi manfaat bersama.

Anda Mungkin Berminat