Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan menegaskan bahawa politik tidak seharusnya dipraktikkan tanpa nilai ihsan, adab dan kemanusiaan khususnya ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran.
Afdlin berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Yeo Bee Yin, yang didakwanya seolah-olah “meraikan” kesusahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Isu tersebut bukan berkaitan sokongan atau kebencian terhadap mana-mana individu, sebaliknya melibatkan soal sensitiviti, kebijaksanaan serta nilai kemanusiaan yang wajar dijunjung oleh semua pemimpin politik.
“Dalam budaya masyarakat Malaysia, kita tidak diajar untuk bergembira atas musibah orang lain.
“Pendekatan seperti ‘kick people when they’re down’ bukanlah nilai masyarakat kita dan juga tidak mencerminkan semangat reformasi yang sering dilaungkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Afdlin mengakui dirinya masih baharu dalam dunia politik, namun menegaskan asas moral, adab dan kemanusiaan tidak boleh diketepikan demi kepentingan politik sempit.
Menurutnya, keadaan negara kini amat sensitif apabila rakyat berdepan tekanan ekonomi, peningkatan kos sara hidup, keresahan sosial serta keletihan politik yang berpanjangan.
“Dalam situasi sebegini, setiap kenyataan pemimpin akan diperhatikan dan dinilai oleh rakyat.
“Oleh itu, kita seharusnya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap ucapan.
“Fokus utama pemimpin politik ketika ini sepatutnya adalah membantu Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI menumpukan usaha kepada pemulihan ekonomi, pembinaan institusi yang kukuh serta pengukuhan perpaduan nasional.
“Politik tanpa ihsan adalah politik tanpa arah. Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang waras, beradab dan berjiwa besar demi masa depan negara,” katanya lagi.








