Poomsae wanita hadiahkan Malaysia emas, lelaki tambah gangsa

KONTINJEN Malaysia terus mengharumkan nama negara apabila acara poomsae taekwondo menambah koleksi pingat Sukan SEA 2025 dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat gangsa dalam kategori berpasukan lelaki dan wanita.

Atlet muda dari Sarawak, Randy Owen Augustine Linggi, 20, menjadi antara penyumbang apabila membantu pasukan lelaki membawa pulang gangsa selepas tewas tipis 8.440 kepada Indonesia yang memperoleh 8.650 pada peringkat separuh akhir.

“Ini Sukan SEA pertama saya. Memang rasa gementar pada awalnya, tetapi saya cuba kawal perasaan itu dan fokus sepenuhnya pada persembahan.

“Bangga dapat menyumbang pingat untuk negara,” katanya. Randy Owen beraksi bersama Ken Chin Haw dan Jason Loo Jun Wei.

Menurutnya, jurulatih banyak menekankan kepentingan memberi fokus kepada persediaan dan proses latihan, bukan semata-mata keputusan. Beliau mendedahkan latihan mereka bermula sejak awal tahun, dengan jadual ketat termasuk penyertaan dalam beberapa kejohanan persediaan.

“Latihan memang intensif. Kami bukan sahaja menambah baik teknik, tetapi juga membina koordinasi sebagai satu pasukan.

“Semua ini dilakukan supaya apabila berada di gelanggang, kami benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental,” jelasnya.

Randy Owen menyifatkan pengalaman beraksi di pertandingan antarabangsa sebagai satu peluang besar berbanding kejohanan tempatan.

“Sebelum ini saya hanya bertanding dengan atlet dalam negara. Kini dapat bertemu peserta dari seluruh Asia Tenggara memberikan pengalaman yang sangat berharga.

“Pertandingan di peringkat antarabangsa menuntut fokus tinggi, disiplin serta keyakinan walaupun ada tekanan,” katanya lagi.

Sementara itu, pasukan poomsae wanita, terdiri daripada Seah Jing Ying, Wong Zin dan Yow Mei Yee mencipta detik manis apabila mengejutkan tuan rumah Thailand untuk merangkul pingat emas dengan kutipan 8.560 mata berbanding 8.450.

“Pasukan ini baru saling mengenali dua tahun lalu dan kami hanya berlatih bersama secara intensif dalam enam bulan kebelakangan ini. Fokus kami lebih pada prestasi sendiri berbanding tekanan luar,” kata Jing Ying.

Beliau berkata kejayaan itu amat bermakna kerana ia merupakan percubaan pertama mereka di pentas Sukan SEA.

“Kami tidak menjangka kemenangan ini. Agak terkejut dengan keputusan hari ini, tetapi amat bersyukur,” tambahnya.

Dengan kejayaan itu, atlet Sarawak menyumbangkan satu emas dan satu gangsa dalam acara poomsae, sekali gus menambah motivasi kontinjen Malaysia untuk terus memberikan aksi terbaik di Sukan SEA 2025.

Setakat hari pertama temasya di Bangkok, kem taekwondo Malaysia telah meraih satu emas dan dua gangsa.

Baca juga:;

Anda Mungkin Berminat