PUTRAJAYA: Kerajaan melancarkan portal RAI sebagai pusat sehenti digital bertujuan memudahkan warga asing mengakses maklumat serta perkhidmatan agensi kerajaan dengan lebih sistematik dan mesra pengguna.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran portal itu turut menyokong agenda sempena Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong, pelabur dan bakat antarabangsa.
“Portal RAI bukan sekadar platform digital, malah simbol komitmen kita terhadap pembangunan yang inklusif.
“Ia membantu warga asing berurusan dengan kerajaan secara telus dan efisien,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Portal RAI di sini, hari ini.
Katanya, portal RAI merupakan peluasan kepada platform MyGovernment dan antara pencapaian penting dalam usaha memperkasa tadbir urus digital negara.
Gobind berkata, inisiatif itu dijangka memperkukuh keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan, pendidikan dan pelaburan.
“Dengan adanya RAI, urusan seperti imigresen, pendidikan, pelancongan dan peluang pelaburan dapat dicapai dengan lebih mudah oleh bukan warganegara,” katanya.