PPUM umum kenaikan caj bermula 1 Januari

PETALING JAYA: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengumumkan peningkatan kadar caj perkhidmatan bermula 1 Januari lalu.

Menurut satu makluman di laman web PPUM, kadar caj baharu itu merangkumi cak prosedur, perawatan dan perkhidmatan.

“Harga konsultasi bagi klinik am dinaikkan kepada RM15 berbanding RM5 sebelum ini, manakala konsultasi pakar dinaikkan kepada RM80 berbanding RM30 dan rundingan susulan dengan doktor pakar dinaikkan kepada RM50 berbanding RM15.

“Bayaran dikenakan bagi perkhidmatan wad maya (virtual) pula ialah RM80; wad biasa (dewasa) RM300; wad biasa (pediatrik) RM270; wad kritikal (dewasa) RM500 dan wad kritikal (pediaktrik) RM650.

“Semakan caj dilaksanakan kerana berlakunya perubahan kepada kos terutamanya kepada bekalan guna hapus dan peralatan untuk caj sedia ada,” katanya.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) yang dipaparkan di laman sesawang PPUM, semua pihak yang berurusan dengan PPUM, akan dikenakan caj baharu melalui fasa satu, sejak 1 September lalu.

“Semua pihak yang berurusan dengan PPUM, akan dikenakan caj yang baharu mulai 1 September 2024. Caj baharu PPUM adalah lebih rendah dari caj hospital swasta,” katanya.

Menurut FAQ PPUM, semakan semula caj tidak membelakangkan dasar dan perancangan kerajaan dan ia masih menyediakan perkhidmatan rawatan kepada rakyat seperti biasa selain meraikan juga polisi kerajaan lain antaranya kebajikan kakitangan kerajaan serta menyediakan peluang pekerjaan.

Katanya, bagi pesakit di bawah kategori B40 yang tidak berkemampuan, mereka boleh menggunakan kemudahan MySalam selain boleh dirujuk kepada Unit Taksiran, Jabatan kewangan PPUM dan Jabatan Kerja Sosial untuk dibantu sekiranya berkelayakan.

“Kali terakhir kadar caj PPUM dikaji semula adalah pada 2019 namun begitu, ia tidak menyeluruh. Semakan caj membabitkan keseluruhan perkhidmatan di PPUM,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat