Prabowo wakil tunggal ASEAN, curi tumpuan di Sidang Keamanan Gaza

Oleh: Tyah Helmi

MESIR: Kehadiran Presiden Indonesia Prabowo Subianto menjadi perhatian utama di Sidang Kemuncak Keamanan Gaza di Mesir kerana menjadi satu-satunya pemimpin ASEAN yang menghadiri himpunan itu.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa, Prabowo menyifatkan himpunan itu sebagai momentum yang penting buat negaranya bagi menegaskan kembali komitmen terhadap kestabilan dan keamanan di Timur Tengah.

“Saya telah menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Sharm El-Sheikh yang menghimpunkan para pemimpin dunia bagi menandatangani perjanjian damai dan gencatan senjata di Gaza.

“Forum ini merupakan momentum penting bagi Indonesia bersama negara-negara sahabat untuk menegaskan kembali komitmen terhadap kestabilan dan keamanan di Timur Tengah,” katanya.

Prabowo turut mendedahkan bahawa beliau berpeluang melaksanakan beberapa sesi dialog bersama beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Republik Mesir, TYT Abdel Fattah El-Sisi selaku tuan rumah dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

“Suasana pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat kebersamaan.

“Kehadiran Indonesia sekali lagi menegaskan pendirian kita sebagai bangsa yang sentiasa berpihak kepada kemanusiaan dan keamanan sejagat,” ujarnya.

Justeru katanya, Indonesia akan terus aktif dalam memastikan setiap usaha perdamaian menjadi jambatan menuju masa depan yang lebih adil, aman dan harmoni untuk seluruh umat manusia.

Terdahulu, media melaporkan sebuah rundingan damai telah diadakan di sebuah pusat peranginan tepi pantai di bandar Sharm el-Sheikh, Mesir yang diketuai oleh AS, Mesir, Qatar dan Turkiye sebagai pengantara.

Difahamkan lebih 20 negara, termasuk Indonesia, India, Pakistan, Azerbaijan dan Cyprus yang menghadiri pertemuan rundingan damai buat Gaza khususnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat