PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan tenaga kerja mahir tempatan melalui kerjasama strategik bersama Hitachi Rail, selaras dengan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2030.
Prasarana dalam satu kenyataan memaklumkan, sebagai pengendali utama pengangkutan awam negara, pihaknya terus mendukung usaha membina ekosistem modal insan dalam bidang teknikal dengan menawarkan program latihan komprehensif melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), yang merangkumi teori, latihan industri, pensijilan dan pendedahan langsung kepada operasi.

“Antara modul latihan yang ditawarkan termasuk operasi bas elektrik, penyelenggaraan tren (rolling stock), serta keselamatan siber.
“Kesemua program ini dijadual bermula suku keempat tahun ini dan menyasarkan penglibatan 1,000 peserta termasuk lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma dan graduan universiti,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Dalam kenyataan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kerjasama ini bukan sahaja berkisar kepada penambahbaikan operasi dan penyelenggaraan tren, malah ia menyentuh soal pembangunan bakat tempatan dan masa depan industri rel negara.
“Kita sedang membentuk generasi profesional rel tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi serta pengetahuan bertaraf dunia.
“Langkah ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab kepakaran dan inovasi rel serantau,” katanya.
Kerjasama dengan Hitachi Rail juga melibatkan pelaksanaan program khas Protégé yang disertai oleh 28 peserta dari pelbagai latar belakang akademik, termasuk kejuruteraan awam dan sains komputer.
Program selama lapan bulan ini memberi pendedahan praktikal termasuk lawatan ke pusat kawalan operasi dan depoh penyelenggaraan.
Pengarah Urusan Hitachi Rail bagi perniagaan urban rail signalling, Ziad Rizk menyifatkan program itu sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kepakaran tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan industri rel Malaysia.
Beliau turut menegaskan komitmen Hitachi Rail untuk terus menyokong pembangunan bakat tempatan melalui peluasan program latihan ke peringkat serantau.
Baca juga: