Prasarana umum pelarasan harga berkuat kuasa Januari depan, My50 kekal

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Harga beberapa pas perjalanan Rapid KL akan diselaras berkuat kuasa 1 Januari 2026, selari dengan perkembangan pesat rangkaian pengangkutan awam serta keperluan memastikan perkhidmatan yang lebih stabil dan mampan untuk jangka panjang.

Prasarana Malaysia Bhd (PRASARANA) menerusi kenyataan media pada Selasa memaklumkan, pelarasan tersebut merupakan yang pertama dilaksanakan sejak 2009.

“Ia mengambil kira peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan dari tahun ke tahun, selain komitmen berterusan syarikat itu untuk mengekalkan tahap keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan pada standard terbaik.

“Sebagai sebahagian daripada usaha menambah baik tawaran produk, PRASARANA turut memperkenalkan Rapid Bulanan, iaitu pas perjalanan 30 hari baharu yang menawarkan perjalanan tanpa had meliputi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada harga RM150, terbuka kepada warganegara dan bukan warganegara Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi Rapid Kota yang dikhususkan untuk warganegara Malaysia, harga baharu ditetapkan pada RM10 bagi Pas Satu Hari dan RM25 bagi Pas Tiga Hari, manakala Pas Dua Hari tidak lagi ditawarkan.

Sementara itu, Rapid Kembara akan dijual pada harga RM25 bagi Pas Satu Hari dan RM55 bagi Pas Tiga Hari mulai tarikh sama, dengan Pas Dua Hari turut tidak lagi ditawarkan. Bagi Rapid Keluarga yang juga khusus untuk warganegara Malaysia, harga baharu ditetapkan pada RM30.

PRASARANA memaklumkan, diskaun kad konsesi Rapid Pelajar hanya terpakai kepada pelajar warganegara Malaysia. Namun, bagi pelajar bukan warganegara yang menggunakan pas sedia ada, diskaun 50 peratus akan kekal sah sehingga pas tamat tempoh atau sehingga 31 Disember 2026, mengikut mana-mana yang lebih awal.

Selain itu, permohonan baharu Rapid Pelajar mulai 1 Januari 2026 akan dihadkan kepada pelajar warganegara Malaysia sahaja.

Dalam pada itu, PRASARANA menegaskan pas My50 serta kad konsesi Rapid Emas dan Rapid Mesra kekal tanpa sebarang perubahan harga, selaras dengan komitmen berterusan untuk memastikan pengangkutan awam yang mampu milik dan inklusif, khususnya kepada golongan yang memerlukan.

Menurut PRASARANA, peningkatan permintaan terhadap pengangkutan awam, termasuk dalam kalangan ekspatriat dan pelawat jangka panjang, turut mendorong pengenalan Rapid Bulanan sebagai pilihan yang lebih fleksibel dan praktikal kepada pengguna harian perkhidmatan rel dan bas Rapid KL.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan PRASARANA, Ashok Panchalingam, berkata pelarasan harga tersebut dibuat hasil kajian menyeluruh terhadap corak penggunaan, peluasan rangkaian perkhidmatan serta kos operasi semasa.

“Walaupun pelarasan harga dilaksanakan, pas perjalanan Rapid KL kekal menawarkan nilai terbaik kepada pengguna harian melalui penjimatan yang konsisten, kemudahan perjalanan tanpa had serta pengalaman mobiliti yang terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau menambah, langkah berkenaan selari dengan transformasi rangkaian rel dan bas Rapid KL yang kini jauh lebih komprehensif berbanding sedekad lalu, termasuk pembukaan Laluan Kajang pada 2016 dan Laluan Putrajaya pada 2022, selain penambahan laluan bas, peluasan liputan kawasan serta peningkatan kekerapan perkhidmatan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelarasan harga pas perjalanan, perincian produk dan informasi perjalanan melalui laman web rasmi www.myrapid.com.my atau saluran media sosial rasmi Rapid KL.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat