Premis GISBH diserbu, 402 kanak-kanak, remaja diselamatkan

Oleh: Hanim Nadia

KUANTAN: Seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Global pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.

“Hasil serbuan mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

“Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Razarudin berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki bahawa ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Turut didedahkan modus operandi GISBH yang diperoleh berdasarkan risikan polis dan kenyataan mangsa, Razarudin mendakwa antara modus operandi yang digunakan kumpulan itu termasuk kanak-kanak diajar cara meliwat.

“Daripada risikan dan keterangan yang kita dapat, modus operandi GISBH ini, mangsa-mangsa diajar meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa melihat penghuni kanak-kanak yang lain.

“Ini daripada risikan dan percakapan awal yang kita telah rakam,” kata Razarudin.

Tambahnya lagi, mereka juga menggunakan sentimen agama untuk meraih simpati bagi mendapatkan sumbangan.

Beliau berkata, terdapat juga dakwaan kanak-kanak didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila melakukan kesalahan.

Sehubungan itu, katanya, polis sudah membuka empat kertas siasatan dan satu daripadanya sudah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk melaksanakan pertuduhan.

“Pertuduhan atas satu kertas siasatan ini adalah mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Lain-lain siasatan yang sudah dibuka adalah mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Mencabul Kehormatan) dan beberapa seksyen lain,” katanya.

Anda Mungkin Berminat