Premis Program SARA Disaran Maklum Awal Senarai Barangan – Fahmi

PETALING JAYA: Lebih 7,000 premis perniagaan yang menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disaran agar memaklumkan senarai barangan yang boleh ditebus lebih awal kepada pelanggan bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan kelancaran pelaksanaan program.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, komunikasi yang jelas antara premis dan penerima bantuan amat penting agar barangan yang tidak termasuk dalam kategori tidak dibeli secara tersalah.

“Premis yang mengendalikan program SARA perlu memaklumkan lebih awal barangan yang boleh ditebus.

“Sekiranya ada barangan yang tidak termasuk dalam kategori, pekerja premis perlu menguruskannya dengan lebih baik,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Menurut beliau, tempoh pelaksanaan program masih panjang iaitu sehingga 31 Disember 2025 dan semua pihak berkepentingan perlu berganding bahu memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

“Rakyat mempunyai masa sehingga hujung tahun untuk menebus bantuan berkenaan dan mereka boleh berbuat demikian di premis yang berdekatan dengan kediaman masing-masing,” tambah beliau.

Program SARA merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah melalui penyediaan barangan asas di premis terpilih.

Terdahulu, timbul isu lambakan troli berisi barangan di pasar raya yang menyertai program SARA, dipercayai berpunca daripada gangguan sistem serta pembelian produk yang tidak tersenarai dalam kategori yang dibenarkan.

Anda Mungkin Berminat