PARLIMEN | Tindakan segelintir premis yang mengubah skop perniagaan selepas memperoleh lesen sah dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya penyalahgunaan lesen, termasuk menjalankan aktiviti tidak bermoral, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya meluluskan lesen perniagaan berdasarkan permohonan yang dikemukakan pengusaha, namun terdapat premis yang menyimpang daripada skop asal operasi selepas lesen diperoleh.
“Sebagai contoh, pemilik memohon lesen spa dan kita luluskan. Tetapi aktiviti sebenar yang dijalankan selepas itu adalah di luar skop permohonan, dan perkara ini berada di luar kawalan langsung kita pada peringkat awal,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Zaliha berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung peranan DBKL dalam memantau premis berlesen supaya tidak disalah guna termasuk bagi tujuan aktiviti songsang.
Kenyataan itu dibuat susulan serbuan polis di sebuah kelab kesihatan di Chow Kit yang menahan seramai 208 individu termasuk 17 penjawat awam, yang dipercayai menjalankan aktiviti seksual songsang.
Menurut beliau, bagi menangani isu penyalahgunaan lesen ini, DBKL kini mempergiatkan pemantauan berkala ke atas semua premis berlesen bagi memastikan setiap pengusaha mematuhi syarat dan skop perniagaan yang telah diluluskan.
Selain itu, operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi KL Strike Force turut digerakkan dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen, tindakan tegas termasuk penggantungan atau pembatalan lesen akan diambil tanpa kompromi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaliha turut memaklumkan bahawa pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan mewujudkan cabaran baharu dari segi persaingan sosial, khususnya dalam mendapatkan perumahan, pekerjaan dan akses kepada kemudahan awam.
Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan pelan perancangan jangka panjang menerusi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 bagi memastikan pembangunan bandar lebih seimbang, terkawal dan inklusif.
Baca juga:








