Presiden Brazil terharu diberi kejutan hari jadi oleh Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kejutan istimewa buat Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula Da Silva sempena ulang tahun kelahiran ke-80 pemimpin itu pada malam gala Kemuncak Sidang ASEAN ke-47 yang berlangsung meriah di ibu negara, malam tadi.

Acara yang dihadiri ketua-ketua kerajaan, menteri dan delegasi antarabangsa itu bertukar ceria apabila pengacara majlis, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Terrence Dass menjemput Anwar serta Lula naik ke pentas untuk bersama-sama memotong kek khas yang disediakan sebagai tanda meraikan hari istimewa Presiden Brazil itu.

Sorakan dan tepukan gemuruh bergema di dewan apabila kedua-dua pemimpin berjalan beriringan menuju ke pentas, sambil disambut dengan senyuman dan ucapan tahniah daripada para hadirin.

Dalam ucapannya, Anwar menyifatkan Lula sebagai seorang tokoh berjiwa besar yang menjadi inspirasi kepada ramai pemimpin dunia, khususnya dalam memperjuangkan keadilan sosial dan kesaksamaan ekonomi.

“Presiden Lula bukan sekadar pemimpin bagi rakyat Brazil, tetapi simbol ketabahan dan keberanian untuk membawa perubahan. Malaysia amat menghargai hubungan erat yang terus berkembang antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Lula yang jelas terharu dengan kejutan berkenaan menyampaikan ucapan terima kasih kepada Anwar dan rakyat Malaysia atas sambutan mesra yang diterimanya sepanjang menghadiri sidang berkenaan.

“Saya amat tersentuh dengan penghargaan ini. Malaysia mempunyai tempat yang istimewa di hati saya, dan saya percaya hubungan kita akan terus diperkukuh dalam semangat persahabatan dan solidariti,” katanya.

Momen bersejarah itu turut dikongsikan Lula di laman Instagram rasminya dengan beberapa keping gambar bersama Anwar, disertai kapsyen yang menzahirkan penghargaan terhadap sambutan hangat rakyat Malaysia.

Brazil menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai rakan dialog baharu blok serantau itu, selaras dengan hasrat mengukuhkan hubungan antara Amerika Latin dan Asia Tenggara dalam bidang perdagangan, kelestarian, tenaga hijau serta kerjasama Selatan-Selatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat