Presiden China Yakin Dengan Kepimpinan Sultan Ibrahim, Anwar

PUTRAJAYA: Presiden China, Xi Jinping menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus mencipta lebih banyak kejayaan di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika lawatan saya yang lalu pada tahun 2013, saya amat terpesona dengan keindahan alam semula jadi Malaysia, kepelbagaian budayanya serta rakyat yang ramah. Kini, selepas 12 tahun, saya benar-benar gembira melihat Malaysia terus berkembang pesat dan mencapai kemajuan besar dalam usaha pemodenan.

“Saya tidak ragu-ragu bahawa di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim dan kepimpinan Perdana Menteri Anwar, Malaysia akan terus lebih bertenaga dan mencapai kejayaan lebih besar dalam membina Malaysia MADANI,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Anwar di Seri Perdana, malam tadi.

Presiden Xi turut menegaskan komitmen China untuk kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia, sambil mengalu-alukan lebih banyak peluang pelaburan dan pertukaran budaya antara rakyat kedua-dua negara.

Menurut beliau, hubungan diplomatik Malaysia-China yang kini memasuki ulang tahun ke-50, telah menyaksikan pertumbuhan ketara dalam sektor perdagangan, pelaburan serta kerjasama strategik.

“Sepanjang lebih 50 tahun sejak hubungan diplomatik dimulakan, kita telah bekerjasama erat dan membina hubungan yang kukuh seperti batu, dan semakin kuat dari masa ke masa.

“Dari segi politik, kita saling menghormati dan mempercayai dari segi ekonomi, kita menikmati kerjasama yang saling menguntungkan, dari segi budaya pula, kita saling belajar dan memperkukuh antara satu sama lain. Hubungan ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.

Presiden Xi juga menekankan visi “komuniti berkongsi masa depan” sebagai asas baharu memperkukuh hubungan dua hala.

Ia meliputi pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan, selari dengan agenda hijau yang lestari dan kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) yang terus diperluas.

Pelaburan dalam sektor infrastruktur, teknologi serta program pertukaran pelajar dan profesional dijangka menjadi pemacu utama kepada pengukuhan hubungan strategik antara Malaysia dan China dalam tempoh akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat