Presiden Duda Diberi Sambutan Rasmi Penuh Istiadat di Putrajaya

PUTRAJAYA:A Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyambut kedatangan Presiden Poland, Andrzej Duda, dalam rangka lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia.

Menurut satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, lawatan bersejarah itu menjadi titik penting dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan memperluaskan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Menariknya, kehadiran Presiden Duda ke Malaysia berlangsung dalam suasana yang cukup signifikan, Malaysia kini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, manakala Poland menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun 2025,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua negara berada dalam kedudukan strategik yang membuka ruang kepada dialog lebih mendalam dan kerjasama lebih erat.

“Lawatan ini amat signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meluaskan kerjasama strategik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara,” katanya.

Tambah beliau, setibanya di Kompleks Perdana Putra, Presiden Duda dan delegasinya telah menerima sambutan rasmi penuh istiadat termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

“Ini menandakan penghormatan tinggi yang diberikan Malaysia kepada pemimpin Poland, selaras dengan hubungan erat yang telah terbina sejak kedua-dua negara memulakan hubungan diplomatik pada tahun 1971.

“Lawatan ini juga dijangka membuka lembaran baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomoditi, pelancongan serta pendidikan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat