Oleh: Tyah Helmi
MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, dilaporkan telah menandatangani Akta Pengebumian Islam Filipina Nombor 12160, pada 11 April lalu,
Difahamkan, akta tersebut mengiktiraf hak umat Islam untuk dikebumikan segera mengikut tradisi Islam.
Memetik Agensi Anadolu, Undang-undang ini telah disiarkan di laman sesawang Warta Rasmi milik kerajaan Filipina pada 21 April.
“Akta ini menetapkan bahawa jenazah umat Islam mesti dikebumikan secepat mungkin, walaupun tanpa sijil kematian.
“Namun, individu yang menjalankan upacara pengebumian atau waris si mati diwajibkan melaporkan kematian tersebut kepada pegawai kesihatan tempatan dalam tempoh 14 hari selepas pengebumian.” katanya.

Tambah berita itu lagi, pegawai kesihatan tersebut akan mengesahkan punca kematian dan mengeluarkan sijil kematian.
Menurut undang-undang itu, hospital, klinik perubatan, rumah mayat, bilik mayat, fasiliti tahanan, dan institusi yang berkaitan diwajibkan melepaskan jenazah umat Islam dalam tempoh 24 jam selepas kematian.
Ini kerana pada sebelum ini, penahanan jenazah atas alasan bayaran hospital atau perkhidmatan pengebumian yang belum dijelaskan adalah dilarang.
Sebaliknya, keluarga si mati boleh mengemukakan surat janji bayar atau menggunakan skim pembayaran lain yang sedia ada.
Jenazah hendaklah dibalut dengan kain putih dan diletakkan dalam beg atau kotak kedap udara dan kalis bocor, yang ditutup rapat menggunakan zip, pita pelekat, atau kain pembalut.
Individu atau institusi yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang ini boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga enam bulan, denda antara 50,000 hingga 100,000 peso Filipina (kira-kira RM4,200 hingga RM8,400), atau kedua-duanya sekali.
Dalam tempoh 120 hari selepas penguatkuasaan akta ini, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Kebangsaan untuk Muslim Filipina diwajibkan menggubal peraturan dan garis panduan yang diperlukan bagi pelaksanaan berkesan undang-undang ini.
Langkah ini turut disambut baik oleh komuniti Islam di Filipina sebagai pengiktirafan terhadap hak-hak keagamaan mereka dan usaha ke arah memperkukuh keharmonian antara agama di negara tersebut.
Baca juga: