SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol membuat satu tindakan mengejut apabila menarik balik pengisytiharan undang-undang tentera kurang dari 12 jam selepas mengumumkannya.
Keputusan itu dibuat selepas Dewan Kebangsaan meluluskan usul mendesak penamatan undang-undang tersebut, lapor agensi berita Yonhap.
“Pada jam 11 malam tadi, saya mengisytiharkan undang-undang darurat kecemasan dengan tekad yang teguh untuk menyelamatkan negara daripada ancaman pasukan anti-negara yang cuba melumpuhkan fungsi penting negara dan memusnahkan perintah perlembagaan demokrasi bebas.
“Namun, kerana Dewan Kebangsaan telah mendesak supaya ia ditarik balik, saya mengarahkan pengunduran pasukan yang dikerahkan bagi melaksanakan urusan undang-undang darurat,” kata Suk-yeol.
Di bawah Perlembagaan Korea Selatan, undang-undang tentera mesti dibatalkan apabila majoriti Ahli Parlimen menuntutnya.
Daripada 300 Ahli Parlimen, 190 hadir dalam sesi itu dan kesemuanya menyokong usul untuk menamatkan undang-undang tentera.
Menurut Speaker Parlimen, pengisytiharan undang-undang tentera kini terbatal.
Dalam satu pengumuman mengejut menerusi siaran langsung televisyen pada lewat Selasa malam, Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera dengan menuduh pembangkang melumpuhkan kerajaan melalui aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan.
Yoon mendakwa, keputusan isytihar undang-undang tentera itu bertujuan membina semula dan melindungi negara yang dikatakan sedang berdepan cabaran besar.
Pengisytiharan tersebut membolehkan sekatan terhadap kebebasan tertentu termasuk kebebasan akhbar, penerbitan, perhimpunan serta kuasa kerajaan dan mahkamah.
Namun, ia boleh ditamatkan jika majoriti Ahli Parlimen menuntut pembatalannya.
Selepas pengumuman itu, ahli Parlimen pembangkang mengkritik tindakan Suk-yeol, dengan sebahagian daripada mereka mengancam untuk memulakan proses pendakwaan terhadap beliau.
Pengisytiharan tersebut turut menarik perhatian antarabangsa, dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) menyuarakan ‘kebimbangan serius’ dan menggesa pertikaian politik di Korea Selatan diselesaikan secara ‘aman’.