PETALING JAYA: Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada Selasa.
Menurut Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan, beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bamee Awang Ali Basah setelah dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Pelantikan sebagai senator di Dewan Negara ini telah diusulkan oleh ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan disokong oleh ADUN Sentosa, Dr Gunaraj George pada 26 Februari lalu.
“Pemilihan yang dibuat ini telah disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang pada hari tersebut.
“UNISEL mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang telah memberikan kepercayaan kepada Presiden dan Naib Canselor untuk menggalas tugas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Dr Mohammad Redzuan, Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Tiew Way Keng juga dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.