PUTRAJAYA: Malaysia menyambut kedatangan Presiden Republik Poland, TYT Andrzej Duda, dalam lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menjawat jawatan pada 2015.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, lawatan dari 9 hingga 11 Jun ini berlangsung pada saat bersejarah, sejajar dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 serta Poland sebagai Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun ini.
Mengiringi Presiden Duda dalam kunjungan ini adalah pasangan beliau, Agata Kornhauser-Duda serta delegasi kerajaan Poland.
Menurut kenyataan itu, pada 10 Jun, Presiden Duda akan disambut secara rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perbincangan dijangka tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal serta agromokoditi,” kata Wisma Putra.
Sebagai simbol keakraban hubungan Malaysia-Poland, beliau juga dijadualkan melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson serta menyampaikan syarahan awam di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.
“Lawatan ini melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati dan kerjasama yang erat, sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 21 Jun 1971,” menurut kenyataan itu.
Hubungan ekonomi antara kedua-dua negara turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Poland kini merupakan rakan dagang ke-8 terbesar Malaysia dalam kalangan negara EU dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion pada tahun 2024.
Eksport utama Malaysia termasuk produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera dan alat ganti, manakala Poland membekalkan kelengkapan pengangkutan, produk elektrik dan elektronik, serta jentera dan peralatan.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tetapi juga membuka peluang baharu untuk kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai sektor utama.