PETALING JAYA: Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow, mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula Rabu.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden pada Mac 2022.
Menurut Wisma Putra, lawatan itu melibatkan enam Timbalan Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Rashid Meredov dan lima Menteri lain.
Delegasi tersebut turut termasuk pegawai kanan dari Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Negeri.
“Presiden Berdimuhamedow akan menerima sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perbincangan dijangka menyentuh isu-isu dua hala seperti perdagangan, pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan, dan keterhubungan,” kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Dari Januari hingga Oktober tahun ini, jumlah dagangan antara Malaysia dan Turkmenistan meningkat sebanyak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta berbanding RM36.19 juta untuk tempoh yang sama pada 2023.
Tahun lalu, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta.