Prestasi Ekonomi Malaysia Cemerlang, Anwar Wajar Dipuji – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, menyifatkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan wajar dipuji selepas Malaysia mencatat sejarah baharu dengan lebihan akaun perkhidmatan sebanyak RM700 juta pada suku ketiga 2025 iaitu satu pencapaian pertama dalam tempoh 14 tahun.

Menurut beliau, kejayaan itu didorong oleh prestasi kukuh ringgit yang melonjak 8.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga 14 November 2025, selain pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang mencecah 5.2 peratus.

“Di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia bukan sahaja mengekalkan hutang luaran pada tahap terkawal sebanyak RM1.4 trilion atau 69.4 peratus daripada KDNK, malah kerajaan dijangka memperoleh keuntungan lebih RM500 juta daripada bon Samurai 2019,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Guan Eng berkata, pencapaian itu membuktikan kecekapan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara.

“Prestasi positif ringgit dan KDNK ini menunjukkan kepimpinan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara dengan berkesan,” tambahnya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menekankan kedudukan pelaburan antarabangsa bersih Malaysia yang positif sebanyak RM77.3 bilion atau 3.9 peratus daripada KDNK, menjadikan negara sebagai pemiutang bersih.

“Ini satu pencapaian penting yang memberi Malaysia kelebihan dalam meningkatkan penarafan kredit antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memuji kestabilan hutang Kerajaan Persekutuan yang kekal rendah iaitu di bawah tiga peratus daripada keseluruhan hutang luaran denominasi mata wang asing.

“Kestabilan ini membolehkan kerajaan mengurus risiko kewangan dengan lebih berkesan, sekali gus mengekalkan keyakinan pelabur,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat