KUALA LUMPUR: Prestasi memberangsangkan ekonomi negara dalam beberapa bulan kebelakangan ini membuktikan Kerajaan Perpaduan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di landasan yang betul dalam usaha memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.
Pelbagai indikator positif ekonomi dicatatkan meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global.
Antara pencapaian utama termasuk kadar inflasi yang mencatatkan paras terendah dalam tempoh 51 bulan iaitu hanya 1.2 peratus pada Mei 2025.
Kadar pengangguran pula menurun ke paras terendah dalam 10 tahun, iaitu tiga peratus pada April lalu.
Selain itu, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama 2025 melonjak kepada RM90 bilion, dengan lebih RM60 bilion daripadanya adalah pelaburan langsung asing (FDI).
Malaysia juga mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam World Competitiveness Ranking 2025 apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dunia – pencapaian terbaik negara sejak tahun 2020.
Menurut Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, pencapaian ini membuktikan bahawa dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
“Ini hanyalah sebahagian daripada prestasi cemerlang Kerajaan MADANI, meskipun ekonomi dunia masih dalam keadaan tidak menentu.
“Rundingan perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat yang kini sedang berlangsung juga berjalan dengan baik dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tutup Kegagalan SG4 PN
Beliau turut membidas tindakan pembangkang yang disifatkan sebagai terdesak apabila melancarkan kempen ‘Turun Anwar’.
“Tatkala blok pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) masih gagal menunjukkan hala tuju jelas termasuk kegagalan inisiatif SG4, Kerajaan MADANI terus bekerja keras memastikan pembangunan yang seimbang di semua negeri termasuk Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi global akan menjadi yang paling perlahan sejak krisis kewangan 2008, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dengan kadar sekitar empat peratus pada 2025.
“Ini jelas membuktikan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan kerajaan berjaya menguruskan cabaran global dengan baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, kempen ‘Turun Anwar’ adalah satu cubaan untuk menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara yang sedang giat dijalankan.
“Rakyat seharusnya terus bersatu menyokong usaha Perdana Menteri yang telah berjaya mengekalkan kestabilan politik negara selama tiga tahun ini.
“ Kestabilan ini adalah kunci utama kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.








