Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan peningkatan ketara sepanjang tahun 2024 dengan defisit fiskal berjaya dikurangkan sebanyak RM12.224 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Perkembangan ini disifatkan sebagai langkah penting ke arah pengurusan fiskal yang lebih mampan dan berdisiplin.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan media pada Isnin berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat menunjukkan defisit kerajaan menurun kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun 2023.
“Nisbah defisit kepada KDNK turut berkurang kepada 4.1 peratus berbanding 5.0 peratus pada tahun 2023 dan lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.
“Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 telah menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan negara.
“Rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.
“Ketua Audit Negara (KAN) telah memberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan perenggan hal-hal lain,” ujarnya.
Namun di sebalik pencapaian fiskal tersebut, laporan audit turut menyorot kelewatan pelaksanaan Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah yang masih belum disiapkan sehingga Julai 2025, meskipun tarikh siap asal ditetapkan pada 16 November 2024.
“Antara isu utama yang dikenal pasti adalah kelewatan pembinaan Bangunan Penempatan Semula (BPS), main building (selain dari BPS) masih belum siap dan pembinaan jeti yang belum dimulakan,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh ketelusan dan kecekapan pengauditan, Jabatan Audit Negara telah memperluaskan skop pengauditan kepada 1,856 badan termasuk syarikat melalui Sistem e-SelfAudit bermula tahun ini.
Tambah Wan Suraya, sistem tersebut membolehkan jabatan mengadaptasi penggunaan pendigitalan dan teknologi terkini agar kesemua syarikat dapat diaudit setiap tahun.
“Sebanyak 13 penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 sudah diaudit dan jenis Sijil Ketua Audit Negara adalah Pendapat Tanpa Teguran di empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu.
“Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain di sembilan negeri iaitu Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor,” katanya.