PRIME Alat Komunikasi Negara Ketika Bencana

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan PRIME, singkatan bagi Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak, sebagai inisiatif baharu untuk memastikan komunikasi kekal berfungsi ketika berlakunya bencana atau kecemasan.

Sistem ini dibangunkan bagi menyediakan kemudahan komunikasi moden di kawasan yang tidak mempunyai liputan infrastruktur sedia ada, sekali gus membolehkan agensi penyelamat, pasukan penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan menyelaras operasi dengan lebih pantas dan berkesan.

Menurut MCMC, PRIME dijangka meningkatkan kecekapan misi menyelamat serta mempercepat penyampaian maklumat tepat kepada masyarakat yang terjejas.

“PRIME memastikan komunikasi tidak terputus walaupun ketika bencana besar.

“Dengan teknologi ini, setiap misi boleh diselaras dengan lebih cekap,” kata MCMC pada laman portalnya.

Menurutnya, teknologi yang digunakan dalam PRIME merangkumi komunikasi satelit, rangkaian selular mudah alih, radio dua hala, Wi-Fi hotspot serta penggunaan dron untuk memperluaskan liputan di lokasi kritikal.

Selain digunakan semasa bencana, PRIME juga berpotensi dimanfaatkan untuk program literasi digital di luar bandar, menyokong pusat komuniti digital NADI serta memperkukuh komunikasi semasa acara berskala besar.

Sistem ini turut berfungsi sebagai saluran maklumat sahih kepada masyarakat, membantu agihan bantuan kemanusiaan dan menyediakan rangkaian sementara di kawasan terjejas.

Pelancaran PRIME adalah selaras dengan usaha berterusan MCMC untuk memperkukuh infrastruktur digital negara, susulan beberapa insiden bencana besar yang mendedahkan cabaran liputan komunikasi di kawasan pedalaman dan terpencil.

Anda Mungkin Berminat