PRIME Beri Akses Internet Di Pedalaman, Sokong Misi NADI

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) sebagai inisiatif baharu untuk memperkukuh jaringan komunikasi di kawasan pedalaman khususnya menerusi sokongan kepada rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

MCMC menjelaskan bahawa PRIME direka khas untuk menyediakan akses internet dan siaran maklumat bergerak kepada komuniti luar bandar yang sebelum ini berdepan kekangan liputan digital.

“Usaha ini membolehkan penduduk setempat menerima maklumat tepat di samping menikmati kemudahan komunikasi digital yang lebih baik,” katanya.

MCMC berkata, unit pertama PRIME telah dilancarkan untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi unit tambahan dirancang untuk ditempatkan di Sabah dan Sarawak menjelang tahun 2025.

Sistem ini akan memberi keutamaan kepada agensi penyelamat dan penguatkuasaan seperti NADMA, PDRM, Bomba dan ATM serta agensi kerajaan negeri dan daerah ketika berlakunya bencana.

“PRIME akan diutamakan untuk agensi penyelamat dan penguatkuasaan termasuk NADMA, PDRM, Bomba serta ATM selain agensi kerajaan negeri atau daerah ketika bencana.

“Pada masa sama, komuniti tempatan turut mendapat manfaat menerusi program NADI bagi akses internet,” jelas MCMC.

Dengan kewujudan PRIME, Malaysia kini memiliki infrastruktur komunikasi bergerak yang boleh digerakkan ke kawasan terputus rangkaian, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi situasi kecemasan.

MCMC berkata, sistem ini bertujuan memastikan tiada jurang komunikasi, membolehkan tindakan yang lebih pantas, terancang dan berkesan dalam usaha menyelamatkan nyawa serta harta benda.

“Maklumat lanjut mengenai PRIME boleh diperoleh menerusi laman web rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my, e-mel [email protected] atau talian Pusat Panggilan MCMC di 1800-188-030,” katanya.

Anda Mungkin Berminat