PRIME perkukuh kesiapsiagaan komunikasi bencana di Sabah

TAWAU: Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) di Sabah bagi memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sistem bergerak berasaskan kenderaan itu dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), lengkap dengan teknologi satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi serta sokongan dron.

“Dengan PRIME, operasi menyelamat dapat dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan bersama agensi berkaitan ketika berdepan bencana,” katanya ketika merasmikan PRIME sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Sungai Imam, Tawau.

Setakat ini, dua unit PRIME ditempatkan di Semenanjung dan Sabah, manakala sebuah lagi untuk Sarawak dijangka siap Oktober ini.

“Kita mahu pastikan komunikasi tidak terputus walau dalam situasi kecemasan, kerana ia adalah faktor penting yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.

Selain pelancaran, HBK turut diserikan dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di 1,099 NADI seluruh negara, termasuk pameran usahawan tempatan, Jualan Rahmah KPDN serta penyampaian sumbangan Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM.

Fahmi turut meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai yang mula beroperasi tahun lalu. Menara itu kini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps untuk perkhidmatan 4G, memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk.

“Inilah usaha berterusan kerajaan untuk memastikan rakyat, sama ada di bandar atau luar bandar, menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat