Oleh: Aliyaa Azmi
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 April sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, memaklumkan bahawa hari penamaan calon dijadualkan pada 12 April, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 22 April.
“Permohonan undi pos bagi kategori penghantaran dalam dan luar negara dibuka mulai hari ini, 7 Mac 2025. Tempoh kempen ditetapkan selama 14 hari, berakhir pada 21 April, jam 11.59 malam.
“Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), seramai 31,897 pemilih layak mengundi dalam PRK ini, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan PRK DUN Ayer Kuning di Menara SPR.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi tersebut dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.
Kerusi DUN Ayer Kuning kekal menjadi kubu kuat BN selama lapan penggal berturut-turut.