PRK Ayer Kuning: Dr Yusri Bakir calon BN

TAPAH: Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pemilihan itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya serta pengumuman calon di Command Center BN Perak, Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Hj Tahir, Temoh di sini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN bersama Pengerusi MCA, Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

Pimpinan parti kerajaan perpaduan turut hadir, antaranya pemimpin PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah Anwar.

Saarani berkata, keputusan memilih Dr Yusri itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Ahmad Zahid.

“Ada lapan calon kita bincang bersama, tetapi dua calon tarik diri iaitu Ketua Wanita, Puteri bahagian. Jadi, enam calon dipersembahkan kepada presiden.

“Jadi, kita memilih calon BN, Dr Muhammad Yusri Bakir, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah,” katanya.

Dr Yusri yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh menzahirkan penghargaan atas pemilihan itu.

“Ucapan terima kasih kepada presiden, Datuk Seri Saarani, seluruh kepemimpinan BN dan juga UMNO Tapah khususnya yang telah memberi kepercayaan untuk mewakili parti dalam PRK Ayer Kuning.

“Kita akan bekerjasama dan membawa kejayaan besar demi meneruskan perancangan perancangan Allahyarham (Ishsam Shahruddin),” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.

Anda Mungkin Berminat