PETALING JAYA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan kejayaan formula Kerajaan MADANI dalam memenangi hati rakyat, kata Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, bukan sahaja mengekalkan kerusi tersebut, malah meningkatkan majoriti kemenangan, sementara sokongan terhadap calon Perikatan Nasional (PN) pula merosot.
“Daripada 20 pusat daerah mengundi, 19 dimenangi oleh Kerajaan Madani. Ini satu petanda positif, namun kita tidak boleh leka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Sandakan, memetik laporan media tempatan.
Beliau berkata, kempen sihat yang menumpukan isu setempat serta penolakan terhadap politik berunsur perkauman menjadi faktor utama kejayaan itu.
“Rakyat memilih perpaduan dan menolak politik perpecahan,” tambahnya.
Dalam PRK tersebut, Mohamad Yusri memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek (PN) yang meraih 6,059 undi, serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS yang mendapat 1,106 undi, dengan majoriti 5,006 undi.
Baca juga: