PRK Ayer Kuning: MUDA Ucap Tahniah Kepada BN, Puji Kematangan Pengundi

PETALING JAYA: Parti MUDA mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir atas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam.

Biro politik MUDA dalam kenyataan berkata, mereka menghormati keputusan majoriti rakyat dan menghargai semangat demokrasi yang ditunjukkan oleh semua pengundi Ayer Kuning.

“Kehadiran mereka di pusat pengundian meskipun dalam suasana politik yang mencabar membuktikan bahawa rakyat Malaysia tetap komited kepada proses demokrasi sebagai asas masa depan negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Semalam, Mohamad Yusri menang dengan majoriti lebih besar melalui saingan tiga penjuru menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menang dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).

Dalam pada itu, MUDA memuji kematangan rakyat Ayer Kuning dalam membuat pilihan meskipun berdepan pelbagai kekangan, sekali gus membuka ruang kepada perjuangan berprinsip dalam arena politik negara.

MUDA menambah bahawa keputusan PRK Ayer Kuning membuktikan rakyat semakin bersedia menerima kuasa politik baharu yang menawarkan dasar-dasar progresif, inklusif dan berteraskan keadilan sosial.

“MUDA yakin kuasa ketiga akan terus mempunyai tempat dalam landskap politik negara.

MUDA juga mengucapkan tahniah kepada PSM atas kesungguhan mereka sepanjang kempen serta penghargaan khusus kepada calonnya, Bawani KS yang telah membawa suara rakyat marhaen dengan penuh ikhlas dan dedikasi.

“Usaha gigih itu bukti politik berasaskan nilai dan prinsip kini semakin mendapat tempat dalam hati rakyat,” katanya.

Tambahnya, MUDA akan terus komited bekerjasama dengan semua parti dan individu yang berkongsi cita-cita reformasi, memperkukuh suara rakyat, dan membina Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berintegriti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat