PRK Ayer Kuning: PM tegaskan larangan guna jentera, dana kerajaan selepas penamaan calon

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penggunaan jentera atau peruntukan kerajaan selepas penamaan calon bagi sesuatu pilihan raya adalah dilarang sama sekali.

Merujuk kepada pengumuman peruntukan RM6.13 juta oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bagi 33 projek pembangunan di Parlimen Tapah, Anwar menjelaskan bahawa pengumuman itu dibuat sebelum proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

“Itu diumumkan sebelum (penamaan calon). Kalau selepas itu, kita akan beri amaran kerana ia tidak dibenarkan,” katanya kepada media selepas menghadiri perjumpaan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Terdahulu, tindakan Nga Kor Ming itu sebelum ini mendapat kritikan daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), yang menyifatkannya sebagai penyalahgunaan sumber kerajaan dalam tempoh menjelang PRK.

BERSIH turut mengingatkan tentang garis panduan ‘3C’ yang diperkenalkan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, iaitu larangan pemberian tanpa syarat (no conditions), kempen menggunakan peruntukan kerajaan (no campaign) dan penglibatan calon dalam program rasmi kerajaan (no candidates).

Langkah itu, menurut BERSIH, adalah penting untuk memastikan jentera kerajaan tidak disalahgunakan demi kepentingan politik semasa kempen pilihan raya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada 26 April ini, susulan pengumuman calon Sabtu lalu.

DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pemilih biasa dan 582 anggota polis dan pasangan.

Anda Mungkin Berminat