PRK Ayer Kuning: PN gagal tawar solusi, hanya tahu cetus emosi – AMANAH Perak

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengkritik keputusan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mengemukakan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurut Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh, tindakan itu mencerminkan ketiadaan idea dan hala tuju PN untuk rakyat.

“Sebelum ini mereka beriya-iya kononnya mahu melancarkan manifesto rasmi lengkap dengan pelan ekonomi, kebajikan dan pembangunan.

“Namun akhirnya semua itu senyap begitu sahaja. Rupa-rupanya janji tersebut hanyalah sekadar strategi kempen awal, sebelum mereka sedar tiada apa-apa yang boleh dibentangkan dengan yakin,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Salman turut menyifatkan alasan PN untuk tidak menipu rakyat dengan janji manifesto sebagai helah untuk menutup kelemahan mereka.

“Tanpa manifesto, PN, khususnya PAS hanya meneruskan pendekatan lama dengan membangkitkan kemarahan rakyat melalui isu-isu sensitif seperti ladang babi serta memainkan sentimen kaum dan agama.

“Semua ini dilakukan bagi mengelak daripada membincangkan penyelesaian sebenar untuk rakyat,” katanya.

Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan melalui Barisan Nasional (BN), katanya, telah mengemukakan manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ yang merangkumi komitmen dalam aspek ekonomi, pendidikan, kebajikan, dan pembangunan prasarana.

“Inilah perbezaan antara mereka yang mahu berkhidmat dengan ikhlas dan mereka yang sekadar mahu menang tanpa pelan untuk rakyat,” tambahnya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN, Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.

Anda Mungkin Berminat