KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, sekali gus memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) yang merupakan rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu dibuat sebagai tanda penghormatan kepada parti yang memenangi kerusi berkenaan sebelum ini dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
Menurut beliau, GRS memilih untuk mengutamakan semangat kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan parti komponen kerajaan bagi memastikan kestabilan politik di negeri ini terus terpelihara.
“Pada prinsipnya, kita akan memberi laluan. Kita tidak akan bertanding dan akan membantu rakan kita untuk memenangi pilihan raya kecil tersebut bagi kedua-dua kerusi,” katanya, memetik berita tempatan pada Selasa.
Hajiji turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional bagi memperincikan kerjasama menjelang PRK berkenaan.
Untuk rekod, PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Beliau menegaskan bahawa semangat perpaduan dan kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh demi menjamin keharmonian politik serta kestabilan pentadbiran negeri.
Baca juga:








