PRK KKB: Calon PH berpuas hati, proses undi awal berjalan lancar

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao berpuas hati dengan kelancaran proses undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Selasa.

Jelasnya, dengan kelancaran proses undi awal yang diadakan di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu ini secara langsung dapat memastikan orang ramai untuk keluar mengundi pada 11 Mei nanti.

“Berdasarkan tinjauan saya, perjalanan untuk pengundian awal ini sangat teratur dan berjalan dengan lancar sekali.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota serta semua pihak yang terlibat untuk proses undi awal ini,” katanya.

Seramai 625 anggota polis, 238 orang tentera dan pasangan akan mengundi awal dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Proses pengundian berlangsung di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal.

Untuk info, PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.

DUN KKB memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat