PRK Nenggiri: BERSATU Dalam Dilema, Ahli Kian Memberontak

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pemberontakan politik yang berlaku dalam parti BERSATU semakin menular apabila dilaporkan beberapa cawangannya di Kelantan mengumumkan untuk keluar parti dan menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara cawangan yang terlibat adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri iaitu seramai 480 ahli daripada 12 cawangan dan lebih 1,000 pimpinan serta ahli di Bahagian Jeli.

Malah, menurut bekas pimpinan BERSATU Jeli, keyakinan terhakis dan lemah dalam percaturan politik menjadi faktor tindakan sukarela tersebut dilakukan.

“Kita lihat di Terengganu dan Kelantan PAS menguasai majoriti kerusi. Ini menunjukkan PAS tidak memerlukan BERSATU kerana parti itu (BERSATU) bergantung kepada PAS dalam beberapa siri pilihan raya.

“BERSATU adalah serpihan daripada UMNO dan mereka tidak mempunyai akar umbi yang kuat untuk bergantung,” kata Penganalisis politik, Dr Muhammad Tawfik Yaakob ketika dihubungi Malaysia Bangkit baru-baru ini.

Terdahulu, enam Ahli Parlimen BERSATU secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan Perpaduan juga menunjukkan pimpinan tertinggi parti gagal menanganinya.

“BERSATU gagal mengawal ahli-ahli parti untuk menyokong Anwar. Ini mengecewakan PAS kerana kesetiaan menjadi keutamaan PAS. BERSATU berhadapan dengan laluan sukar dan perlu mengambil langkah drastik untuk mengawalnya,” kata Dr Tawfik.

Mengulas mengenai situasi kempen di DUN Nenggiri yang sedang berlangsung, kata Dr Tawfik, BERSATU juga dilihat berada dalam dilema susulan konflik pemilihan calon.

“Tidak ramai BERSATU di peringkat pusat yang betul-betul bersungguh turun berkempen di Nenggiri. Tidak seperti di Sungai Bakap dan Kuala Kubu Baharu.

“Ini menggambarkan bahawa mereka ini dalam keadaan dilema sama ada mahu membantu atau membiarkan calon berkenaan dibantu jentera PAS kerana menurut BERSATU, menang atau kalah calon adalah milik PAS,” katanya.

Pemilihan calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail menjadi bualan susulan PAS merestui beliau keluar daripada parti untuk menyertai BERSATU dan bertanding menggunakan logo PAS.

Anda Mungkin Berminat