KUALA LUMPUR: DAP mengesahkan akan mempertahankan semua kerusi yang disandang parti itu di Johor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain menyasarkan beberapa kerusi tambahan di Johor.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata jumlah sebenar kerusi tambahan yang akan ditandingi masih tertakluk kepada rundingan akhir bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), yang dijangka dimuktamadkan sebelum hujung minggu ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang berlangsung malam tadi.
“Mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan serta keperluan mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun 2026, Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang dijadualkan pada 12 Julai ini akan ditunda ke 16 Ogos depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Anthony berkata, proses pemilihan calon DAP bagi menghadapi PRN akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon yang dianggotainya bersama Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Nga Kor Ming, Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, dan Ketua Parlimen DAP, Chong Chieng Jen.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata DAP menyokong pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dan dijadual dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat bermula 22 Jun ini.
Menurutnya, DAP komited memastikan kesemua 40 Ahli Parlimen parti itu menyokong usul berkenaan ketika undian belah bahagi, selain menyeru semua Ahli Parlimen untuk bersama-sama menjayakan pindaan perlembagaan yang disifatkan sebagai satu reformasi bersejarah.
“DAP akan terus mendukung agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan berkempen bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Baca juga:








