PRN Sabah 29 November, 1.78 Juta Pemilih Layak Mengundi – SPR

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 November 2025 dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November dan undi awal pada 25 November.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu sidang media di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kota Kinabalu, Sabah.

“PRN Sabah ke-17 akan menggunakan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Ogos 2025, yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025, melibatkan seramai 1,784,843 pemilih berdaftar,” katanya juga menerusi siaran secara langsung di Facebook SPR.

Menurut beliau, SPR telah melantik 25 pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh 196 penolong pegawai pengurus bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya kali ini.

Katanya, bagi menjamin kempen yang adil dan mematuhi undang-undang, SPR turut menubuhkan 26 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang dianggotai oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan serta wakil calon-calon yang bertanding.

Beliau turut memaklumkan bahawa writ pilihan raya telah dikeluarkan hari ini, menandakan permulaan rasmi kepada proses PRN Sabah ke-17 yang bakal menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen.

Anda Mungkin Berminat