PUTATAN: Penamaan calon bagi DUN Petagas hari ini mencuri tumpuan sebagai salah satu kisah paling panas PRN Sabah ke-17, apabila tiga ahli keluarga besar bertanding, masing-masing mewakili parti dan platform berbeza.
Bekas ADUN, Datuk Awang Ahmad Sah, mengesahkan bertanding sebagai calon Bebas selepas meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Keputusan ini menambahkan lagi ketegangan politik di Petagas apabila adiknya, Awang Husaini Sahari, bertanding atas tiket PKR.
Lebih menarik, Datuk Uda Sulai, penyandang lama kerusi berkenaan dan bapa saudara kepada kedua-dua beradik, turut tampil sebagai calon Parti Warisan.
Situasi ini menjadikan kerusi Petagas unik, menyaksikan pertarungan sesama keluarga di gelanggang pilihan raya.
Memetik laporan portal berita Sayang Sabah, meski berlaku persaingan “darah daging”, keadaan di luar pusat penamaan calon kekal tertib, dengan penyokong menunjukkan disiplin dan budaya politik Sabah yang mesra walaupun berbeza pendirian.
Proses penyerahan borang pencalonan dibuka dari 9 hingga 10 pagi, sebelum melalui semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Senarai rasmi calon dijangka diumumkan sebaik semua dokumen disahkan.
Petagas kini menjadi antara kerusi paling menarik untuk diperhatikan, bukan hanya kerana persaingan politik, tetapi juga kerana naratif keluarga yang menghidupkan persaingan dan memberi dimensi baru kepada PRN Sabah kali ini.
Tempoh berkempen akan bermula sebaik sahaja pengisytiharan calon disahkan dan berlangsung selama 14 hari, sehingga 11.59 malam pada 28 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi dalam PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.
Baca juga:








