PRN Sabah: Calon PH Segama kempen bersama Shamsul Iskandar

Oleh: Tyah Helmi

LAHAD DATU: Suasana kempen Parti Pakatan (PH) di DUN Segama semakin rancak apabila calonnya, Romansa Lamin dilihat turun padang bersama Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin ketika bertemu komuniti setempat pada Isnin.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, kehadiran Shamsul Iskandar bukan sahaja menarik perhatian penduduk, malah menyuntik semangat baharu kepada jentera kempen PH di Segama.

Menurut Romansa, sesi turun padang dan rewang itu bukan sekadar aktiviti kempen, tetapi peluang untuk mendengar secara langsung suara rakyat, termasuk keluhan serta harapan mereka terhadap masa depan kawasan tersebut.

“Kehadiran Datuk Seri Shamsul Iskandar benar-benar menaikkan moral pasukan.

“Kami bukan hanya datang untuk berkempen, tetapi untuk memahami denyut nadi masyarakat Segama,” katanya.

Aktiviti berkempen Romansa pada Isnin adalah termasuk bertemu warga tertua di kawasan berkenaan, yang disifatkannya sebagai “khazanah tidak ternilai” berikutan pengalaman hidup dan pandangan yang mampu menjadi panduan dalam membina masa depan Segama.

Untuk rekod, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi kerusi DUN Segama dijangka menyaksikan saingan tujuh penjuru. Romansa akan berdepan penyandang, Datuk Mohammaddin Ketapi yang bertanding sebagai calon Bebas.

Lima lagi pencabar ialah calon Warisan, Mohammad Abd Karim Alif; calon Bebas, Afiandy Ali; calon Parti Impian Sabah (PIS), Ehtisham Jr Ramman Maulaha; calon Bebas, Norman Kasimin; serta calon Parti Maju Sabah (SAPP), Yvonne Yong.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat