PRN Sabah: Gabungan PH, BN dan GRS Langkah Paling Praktikal – Penganalisis

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dianggap sebagai pilihan paling praktikal untuk memastikan kestabilan politik di negeri itu.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hasan berkata, langkah itu selari dengan realiti politik semasa, di mana tiada parti mampu bersendirian termasuk di Sabah.

“Cadangan itu amat wajar kerana ia hampir menyerupai model Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

“Jika Warisan dapat turut serta, ia akan menjadi satu bentuk gabungan yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau mengakui bahawa pembahagian kerusi boleh menjadi cabaran utama, namun percaya formula kerjasama politik masih boleh dirunding jika semua pihak berlapang dada demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya saranan ini bertujuan mengelakkan pertembungan sesama sendiri antara parti yang sebenarnya berada dalam kerajaan.

“Ia juga dapat elak sabotaj seperti yang pernah berlaku di negeri lain,” ujarnya.

Mengulas pandangan akar umbi, Dr Azmi berkata, kepentingan GRS untuk tidak kelihatan ‘ditenggelami’ oleh parti dari Semenanjung, kerjasama itu, katanya, mestilah adil untuk semua pihak.

“Namun rakyat Sabah pada umumnya menilai hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan sebagai satu kelebihan.

“Maka tiada isu jika PH dan BN yang dianggap parti Semenanjung, terlibat dalam kerjasama ini,” katanya.

Menurut beliau, saranan Anwar bukan sahaja relevan tetapi juga menunjukkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam membina kestabilan politik yang lebih kukuh menjelang PRN akan datang.

Anda Mungkin Berminat