PRN Sabah: GRS Umum Bertanding 55 Kerusi, 33% Calon Baharu

PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 55 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurut laporan media tempatan, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu, 51 calon diumumkan pada Rabu, manakala baki empat lagi akan diumumkan esok.

Menurutnya, sebanyak 33 peratus daripada calon yang disenaraikan merupakan muka baharu, mencerminkan komitmen GRS memperkukuh barisan kepimpinan negeri.

“Jika kita bersatu hati atas nama GRS, insya-Allah kita akan menjadi kerajaan semula selepas PRN17. Saya berharap semua menerima calon-calon ini dengan hati terbuka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menyeru semua jentera parti agar memperkukuh perpaduan dan semangat perjuangan bagi memastikan kemenangan GRS demi kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.

GRS merangkumi enam parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Dalam PRN17, GRS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), dengan PKR dijangka bertanding di 10 kerusi, DAP di lapan kerusi, manakala Amanah di satu kerusi.

Sementara itu, salah satu parti komponen PH, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sebelum ini mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut pada Isnin lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat