PETALING JAYA: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dirangka secara menyeluruh dengan empat tunjang utama sebagai asas kukuh untuk membawa negeri itu ke tahap lebih maju, inklusif dan berdaya saing.
Beliau berkata, dokumen manifesto tersebut memastikan pembangunan Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih terarah, mampan dan menyeluruh.
“GRS bertekad dan berjanji untuk melaksanakan sepenuhnya segala yang terkandung dalam manifesto yang dibentangkan.
“Ia merangkumi pembangunan holistik dan inklusif, selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya ketika melancarkan Manifesto GRS pada Isnin.
Manifesto yang dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, menampilkan empat rukun utama iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Maju ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Bersatu).
Keempat-empat rukun itu diterjemahkan kepada 16 strategi pembangunan merentas pelbagai sektor termasuk ekonomi, infrastruktur, pendidikan, keselamatan, modal insan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Hajiji turut menegaskan komitmen GRS untuk memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perjuangan GRS adalah daripada rakyat untuk rakyat, demi sebuah Sabah yang maju dan makmur tanpa mengabaikan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Berlandaskan iltizam membina negeri yang progresif, beliau yakin GRS akan memperoleh sokongan padu rakyat dan berjaya menguasai 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Tambah Hajiji, sepanjang lima tahun menerajui pentadbiran negeri, GRS telah membuktikan keupayaannya memacu perpaduan serta membawa perubahan ketara kepada Sabah.








