Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu mesyuarat khas akan diadakan pada 29 Mei (Khamis) bagi membincangkan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Selepas Sidang Kemuncak ASEAN berakhir, mesyuarat khas itu akan diadakan dan saya memberi jaminan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) akan mendapat jumlah kerusi yang munasabah,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Persada Johor.
Menurut Anwar, beliau telah berbincang dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serta Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengenai pembahagian kerusi.
“Kita akan bekerjasama dengan syarat bahawa PH diiktiraf sebagai rakan kongsi dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, usaha menghadapi PRN perlu dimulakan segera sejurus kongres nasional berakhir.