SIPITANG: Suasana penuh semangat dan harapan menyelubungi Pusat Kebudayaan Lundayeh apabila Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu melancarkan Jentera Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.
Majlis yang berlangsung meriah itu mencatat kehadiran lebih 1,000 orang, terdiri daripada jentera parti dan masyarakat pelbagai latar belakang yang hadir untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan PKR menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan sambutan luar biasa itu sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap hala tuju parti.
“Kehadiran begitu ramai mencerminkan harapan tinggi rakyat di Sipitang serta seluruh kawasan Sindumin terhadap PKR.
“Inilah kekuatan sebenar, kekuatan yang lahir daripada rakyat dan kembali kepada rakyat,” katanya.
Pelancaran jentera itu turut memperlihatkan kesiapsiagaan PKR Sabah dalam menghadapi pilihan raya, dengan Ketua Wanita PKR Sabah, Rufinah Pengeran menekankan semangat kebersamaan sebagai teras perjuangan.
“Semangat kebersamaan dan tekad membawa perubahan menjadi pendorong utama perjuangan.
“InsyaAllah dengan sokongan padu rakyat, kita mampu memastikan kemenangan DUN Sindumin,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Pengerusi MPN Pimpinan Pusat, Datuk Sangkar Rasam serta barisan pimpinan negeri yang lain, memperkukuh solidariti dan komitmen parti di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan berasingan, Nurul Izzah yang juga Timbalan Presiden PKR turut melancarkan jentera dan merasmikan Bilik Gerakan Utama (BGU) bagi N17 DUN Darau dan N18 DUN Inanam, menandakan gerak kerja pilihan raya PKR kini digerakkan secara menyeluruh di pelbagai kawasan strategik.
Pelancaran itu bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah nyata memperlihatkan kesungguhan PKR dalam mendekati rakyat Sabah dan membawa suara perubahan ke pentas negeri.








