PRN Sabah: PH buka ruang kerjasama dengan parti lain

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan pendirian untuk terus bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sambil menegaskan keterbukaan untuk menjalin kerjasama dengan parti lain yang mendukung perpaduan dan pembangunan negara.

Gabungan itu menyifatkan kerjasama dengan BN sebagai langkah yang rasional memandangkan kedua-dua parti merupakan komponen utama dalam Kerajaan Persekutuan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.

“PH Sabah yakin kestabilan politik di kerajaan persekutuan dan Sabah serta hubungan harmoni dan baik perlu dikekalkan serta diperkasakan bagi memastikan aspirasi penubuhan Persekutuan Malaysia dan masa depan rakyat Sabah dapat dijayakan.

“PH Sabah terbuka untuk memupuk perpaduan serta kerjasama dengan parti lain dan berpandangan kerjasama parti politik itu harus berpandukan kepada membangunkan dasar berorientasikan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah,” menurut kenyataan bersama empat pimpinan PH negeri itu.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi AMANAH Sabah, Tuan Lahirul Latigu.

Ketika ini, PH dan BN berada di blok berbeza dalam pentadbiran negeri Sabah, dengan PH menjadi sebahagian kerajaan negeri yang dipimpin GRS, manakala BN kekal sebagai pembangkang.

Sebelum ini, BN menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan GRS bagi menghadapi PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN Sabah yang dijangka tamat penggalnya November ini.

Pengumuman kerjasama rasmi antara PH dan BN untuk PRN Sabah dibuat selepas mesyuarat antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengumuman itu disampaikan oleh Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat