SEMPORNA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, mempersoalkan kemampuan pelaksanaan projek mega yang dijanjikan Parti Warisan di Sabah sekiranya masalah asas rakyat masih belum diselesaikan selepas lebih 30 tahun.
Beliau berkata, keadaan penduduk di DUN Sulabayan dan kawasan pulau Semporna masih menghadapi masalah serius seperti air bersih tidak stabil, jambatan kayu yang reput, lampu jalan hampir tiada, serta kemudahan infrastruktur yang terhad.
“Bagaimana mahu bina landasan kereta api, sedangkan jambatan kayu untuk penduduk berjalan kaki pun tidak dapat diselesaikan?” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mahfuz turut menegaskan bahawa tawaran manifesto seperti pemberian rumah walit dan sangkar ikan percuma tidak menyelesaikan kemiskinan dan masalah asas masyarakat.
“Apa maknanya menyediakan rumah walit, sedangkan rumah rakyat sendiri masih reput? Apa manfaat sangkar ikan percuma, jika air bersih untuk memasak pun masih perlu dibeli?” katanya.
Mahfuz menegaskan rakyat Sabah kini lebih kritikal dan tidak lagi mudah terpesona dengan janji projek besar yang belum tentu dapat dilaksanakan.
“Rakyat tidak mencari manifesto penuh mega projek, mereka mahukan pemimpin yang menyelesaikan perkara asas air bersih, jambatan kukuh, lampu jalan dan infrastruktur kampung.
“PRN kali ini bukan soal memilih janji paling besar, tetapi memilih pihak yang jujur mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat,” ujarnya.
Mahfuz menambah, penduduk Sabah layak mendapat pembangunan sebenar dan bukan janji berulang setiap pilihan raya.
“Jika Semporna selama 30 tahun masih tidak terbela walaupun di bawah seorang pemimpin berprofil tinggi, sukar untuk mempercayai bahawa projek mega Sabah mampu dijayakan,” katanya lagi.
Baca juga:








