KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Thonny Chee mengumumkan manifesto beliau yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk bandar, pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan sosial masyarakat setempat.
Dalam hantaran di Facebook Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chee yang merupakan anak jati Sabah berkata, beliau memahami cabaran utama yang dihadapi masyarakat bandar termasuk kesesakan, peningkatan kos sara hidup serta tekanan terhadap peniaga kecil untuk terus bertahan.
“Antara inti pati manifesto yang diketengahkan ialah penubuhan Jawatankuasa Tindakan Harga ADUN bagi memantau harga barang asas serta kadar sewa,” katanya.
Chee turut menekankan keperluan menaik taraf sistem perparitan yang uzur bagi menjadikan DUN Api-Api bebas daripada masalah banjir kilat.
“Pelaksanaan ‘Community Watch Zone’ bersama polis, DBKK dan komuniti termasuk pemasangan CCTV di kawasan panas.
“Penubuhan Pusat Perlindungan Beretika untuk membantu golongan gelandangan memulakan hidup baru,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan sistem ‘Smart Parking’ serta pembinaan parkir bertingkat sebagai langkah mengurangkan masalah kekurangan ruang parkir di kawasan bandar.
Dalam aspek kesihatan, Chee menyatakan komitmen untuk menambah kakitangan dan memperluas fasiliti di Klinik Ibu Dan Anak Kampung Air bagi memastikan penduduk mendapat akses rawatan yang lebih baik.
Menurut beliau, Api-Api bukan sekadar pusat bandar tetapi merupakan ‘rumah’ kepada penduduknya dan beliau bertekad membawa perubahan yang lebih bersifat praktikal serta inklusif.








