PRN Sabah: Thonny Chee Tawar Agenda Bandar Lebih Selamat, Bersih Dan Sejahtera Untuk Api-Api

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Api-Api, Thonny Chee berkata, beliau tampil dengan tekad memperbaiki mutu kehidupan penduduk bandar, bukan sekadar menawarkan janji kosong kepada pengundi.

Sebagai anak jati Sabah, Chee berkata, beliau memahami cabaran kehidupan di kawasan pusat bandar yang berdepan isu kesesakan, kenaikan kos sara hidup serta tekanan yang dihadapi peniaga kecil untuk terus bertahan.

“Api-Api bukan sekadar pusat bandar, ini rumah kita. Saya berjanji untuk bekerja dengan hati, bukan hanya kata,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Antara fokus utama yang dibawa Chee ialah penubuhan Jawatankuasa Tindakan Harga ADUN bagi memantau harga barang asas dan kadar sewa supaya lebih terkawal serta berpatutan untuk penduduk.

Daripada segi infrastruktur, beliau komited menaik taraf sistem perparitan lama bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan itu.

Chee turut menggariskan usaha meningkatkan keselamatan melalui ‘Community Watch Zone’ yang melibatkan kerjasama polis, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan komuniti setempat termasuk pemasangan CCTV di kawasan panas.

Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan Pusat Perlindungan Beretika bagi membantu golongan gelandangan memulakan kehidupan baharu.

Dalam masa sama, beliau mahu memperkenalkan sistem ‘Smart Parking’ serta cadangan parkir bertingkat untuk mengurangkan kesesakan ruang parkir di pusat bandar.

Chee sebelum ini turut menekankan keperluan menambah kakitangan dan meluaskan fasiliti di Klinik Ibu dan Anak Kg Air, sekali gus melengkapkan agenda meningkatkan kesejahteraan penduduk Api-Api.

Untuk rekod, Kerusi DUN N.20 Api-Api menyaksikan saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.

Pertandingan itu membabitkan Ng Chun Sua (PIS), Ting Shu Kiong (STAR Sabah), Soh Kee Suat @ So Chee Say (PBK), Loi Kok Liang (Warisan) serta Thonny Chee yang mewakili Pakatan Harapan melalui PKR.

Pada pilihan raya 2020, kerusi berkenaan dimenangi Christina Liew Chin Jin daripada Warisan Plus–PKR dengan majoriti 5,347 undi.

Anda Mungkin Berminat