PETALING JAYA: Veteran UMNO menyambut baik pengumuman kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Pengerusinya, Datuk Osman Desa berkata, kerjasama tersebut merupakan satu langkah positif yang mampu memberikan kestabilan politik bukan sahaja di Sabah, malah di peringkat nasional.
“Saya melihat ini satu perkembangan yang baik. Model kerajaan perpaduan yang sedang dilaksanakan di peringkat pusat ternyata semakin diterima oleh parti-parti komponen, dan sewajarnya diteruskan di Sabah demi manfaat rakyat negeri itu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Terdahulu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengesahkan bahawa BN dan PH akan bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah.
Menurut kenyataan bersama itu, perincian mengenai bentuk kerjasama termasuk pengagihan kerusi dan rundingan dengan parti lain akan dibincangkan oleh kepimpinan kedua-dua gabungan di peringkat negeri.
Mengulas lanjut, Osman menegaskan bahawa Sabah memainkan peranan penting dalam mencerminkan hala tuju politik nasional dan sebarang formula kerjasama yang berjaya di negeri itu mampu menjadi gambaran kepada kestabilan Malaysia secara keseluruhan.
“Kita harus melihat dari sudut kesepakatan. PH dan BN masing-masing ada peranan di Sabah dan ini membuktikan bahawa kerjasama rentas parti adalah mungkin serta berkesan.
“Kerajaan perpaduan yang wujud ketika ini telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding pentadbiran sebelum ini, terutama dalam konteks pasca-pandemik COVID-19,” katanya lagi.
Ditanya sama ada formula kerjasama ini berisiko menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi tradisi BN di Sabah, Osman menegaskan pentingnya pemimpin kedua-dua parti memainkan peranan untuk memberi penjelasan yang tuntas kepada rakyat.
“Pengundi Sabah sudah melalui pelbagai episod politik. Saya percaya mereka mampu memahami matlamat sebenar kerjasama ini jika ia dijelaskan dengan baik oleh pimpinan.
“Dalam konteks pilihan raya sekarang yang penting bukan siapa paling kuat, tapi gabungan mana yang paling kukuh dan mampu mentadbir dengan berkesan,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa kerjasama BN-PH adalah gabungan yang kuat dan mampu mengemudi Sabah ke arah kestabilan politik dan pembangunan berterusan.
Baca juga: