KOTA KINABALU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menyatakan kesediaan penuh untuk bergerak seiring dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, mereka memilih untuk bekerjasama bukan hanya untuk menang pilihan raya, namun membina Sabah yang lebih cemerlang.
“Kita akui, realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan.
“Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Bung Moktar, pendirian itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi antara Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama, pada 8 Mei.
Tambah beliau, kerjasama itu akan dirunding secara teliti oleh kepimpinan PH dan BN peringkat negeri, termasuk membabitkan soal agihan kerusi dan rundingan dengan mana-mana parti yang sehaluan.
“BN Sabah akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, selaras dengan panduan yang ditetapkan kepimpinan nasional.
“BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera dengan komitmen penuh 100 peratus fokus, disiplin dan keikhlasan.
“Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen,” tambah Bung Moktar.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan hanya akan tercapai apabila kuasa digunakan secara amanah dan politik dilaksanakan dengan adab serta tujuan yang jelas untuk rakyat dan negeri.
“Kita telah belajar daripada masa lalu dan hari ini kita bersedia untuk membina masa depan bersama,” katanya.
Baca juga: